Tuesday, November 4, 2014

Uvaria grandiflora (Kesusu kerbau)

Uvaria grandiflora atau lebih dikenali sebagai pokok ‘Kesusu kerbau’ bagi masyarakat di utara negeri Kedah adalah sejenis tumbuhan pepanjat berkayu yang sering ditemui di persekitaran hutan semulajadi.

Taburan geografinya ialah negara Myanmar, Vietnam, Laos, Thailand, Cambodia, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Pokok dari keluarga mempisang ini mempunyai daun mudah berbentuk bujur panjang lebar dihujung, pangkal daun bulat dan ekor daun runcing, tepi daun licin dan sedikit beralun, susunan berselang-seli pada ranting. Permukaan daunnya hijau berkilat.

Bunganya berbentuk bintang, mempunyai 6 kelopak berwarna merah pekat dan kuning pucat dipangkal;  berbau wangi.

Buahnya seperti pisang yang melekat serumpun pada satu tangkai dan masak berwarna kuning. Isinya putih gebu tersusun dalam 2 barisan dan mempunyai biji yang banyak berbentuk leper berwarna perang kelabu. Buah boleh dimakan, berbau wangi dan rasanya masam-masam manis.

Akar dan daunnya dipercayai boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit
Pokok ini sesuai dijadikan tanaman landskap di taman-taman yang berkonsepkan hutan semulajadi kerana bunga dan buahnya menarik dan wangi.




No comments:

Post a Comment