Friday, April 17, 2015

Entada spiralis (Sintok)

Kenalkah anda akan pokok ‘sintok’? ada yang menggelarnya ‘akar beluru’. Tumbuhan dari family Leguminosae ini boleh ditemui di kawasan hutan tropika samada hutan dara atau hutan sekunder di Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sintok adalah sejenis tumbuhan pepanjat yang boleh tumbuh dan menjangkau ketinggian sudur hutan. Batangnya bergayut pada batang dan dahan pokok dan akan mengeluarkan cabang sisi untuk menguatkan sokongannya pada pokok-pokok berhampiran. Daunnya akan menyelubungi silara pokok dan akan menjuntai ke bawah.

Tumbuhan pepanjat ini mempunyai daun majmuk yang mempunyai 3 atau 4 pasang anak daun yang bersusun setentang pada tangkai. Bentuk daun eliptik ke obovat dengan pangkal daun obtus dan ekor daun berbentuk kaudat. Bunga pada aksilari berwarna putih dan bertukar ke kuning. Buahnya besar.


Batang pokok ini mempunyai pelbagai kegunaan. Batangnya dipotong dan diketuk hingga menjadi seperti bersabut dan dijemur hingga kering. Bahagian bersabut ini akan mengeluarkan buih seperti sabun apabila direndam dalam air dan ia boleh dijadikan shampoo atau sabun untuk merawat penyakit kulit. Batangnya yang bersifat bersabut/fiber ini juga boleh dijadikan anyaman bakul atau tali.  Selain dari itu, akar batang sintok ini juga digunakan sebagai ramuan dalam perubatan tradisional untuk rawatan makhluk halus.

Tumbuhan ini sedang terancam akibat penerokaan kawasan hutan. Pengambilan batang pokok ini secara tidak terkawal oleh pencari akar kayu juga boleh menyebabkanya pupus.

Anda boleh melihat pokok sintok ini di Universiti Utara Malaysia. Ia adalah pokok sintok paling besar yang pernah saya lihat. Pihak pengurusan universiti telah memelihara pokok sintok ini sebagai ikon atau sinonim kepada UUM, Sintok.


Pihak pengurusan universiti boleh melangkah kehadapan lagi dengan mewartakan pokok tersebut sebagai ‘Pokok Warisan’ untuk menjamin keberkekalan sumber melalui program pemuliharaan yang lestari.


Saturday, December 20, 2014

Uvaria rufa (Larak)




Satu lagi spesis tumbuhan pepanjat berkayu dalam hutan hujan tropika, Uvaria rufa atau lebih dikenali sebagai ‘Larak’ oleh penduduk tempatan. Tumbuhan ini semakin jarang ditemui akibat kemusnahan kawasan hutan.




Taburan geografi spesis ini bermula dari India, Selatan China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, New Guinea hinggalah ke Australia.

Tumbuhan ini mempunyai ranting dan permukaan daun yang berbulu halus berwarna perang, susunan daun berselang-seli, pangkal daun berbentuk jantung dan ekor daunnya runcing.

Bunga berwarna merah berkilat dan berbau wangi.

Buahnya bulat memanjang, apabila masak berwarna oren dan kemudiannya menjadi merah serta berbau wangi.



Bijinya banyak, diliputi pulpa berwarna putih jernih. Buah boleh dimakan dan rasanya masam-masam manis.



Akar dipercayai boleh dijadikan ramuan dalam tonik untuk perempuan lepas bersalin. Buahnya juga dipercayai boleh mengurangkan panas ketika demam. Kayunya boleh dijadikan barangan kraftangan.

Tuesday, November 4, 2014

Uvaria grandiflora (Kesusu kerbau)

Uvaria grandiflora atau lebih dikenali sebagai pokok ‘Kesusu kerbau’ bagi masyarakat di utara negeri Kedah adalah sejenis tumbuhan pepanjat berkayu yang sering ditemui di persekitaran hutan semulajadi.

Taburan geografinya ialah negara Myanmar, Vietnam, Laos, Thailand, Cambodia, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Pokok dari keluarga mempisang ini mempunyai daun mudah berbentuk bujur panjang lebar dihujung, pangkal daun bulat dan ekor daun runcing, tepi daun licin dan sedikit beralun, susunan berselang-seli pada ranting. Permukaan daunnya hijau berkilat.

Bunganya berbentuk bintang, mempunyai 6 kelopak berwarna merah pekat dan kuning pucat dipangkal;  berbau wangi.

Buahnya seperti pisang yang melekat serumpun pada satu tangkai dan masak berwarna kuning. Isinya putih gebu tersusun dalam 2 barisan dan mempunyai biji yang banyak berbentuk leper berwarna perang kelabu. Buah boleh dimakan, berbau wangi dan rasanya masam-masam manis.

Akar dan daunnya dipercayai boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit
Pokok ini sesuai dijadikan tanaman landskap di taman-taman yang berkonsepkan hutan semulajadi kerana bunga dan buahnya menarik dan wangi.




Saturday, October 18, 2014

Cendawan Lilin (Tumbuhan Bercahaya Dalam Hutan)


Penemuan yang menarik iaitu sejenis tumbuhan yang bercahaya apabila disuluh dengan lampu. Ia mungkin sejenis fungi kecil. 


Ia mempunyai batang berwarna hitam berkilat berdimeter 0.3-0.5cm, tinggi sehingga 15.0cm dan hujung berwarna putih bersinar lebih kurang 1.0cm.


      
Ia tumbuh pada permukaan tanah dan ada yang melekat pada batang buluh seperti pacat.

  
Ia akan memantulkan cahaya pada malam yang gelap. Saya menamakannya cendawan lilin kerana seakan-akan lilin yang menyala di lantai hutan.


Sungguh menakjubkan ciptaan Allah. Subhanallah…

Wednesday, October 26, 2011

Musang Pandan

Musang pandan atau nama saintifiknya Paradoxurus hermaphrodites merupakan sejenis haiwan liar yang sering dilihat di atas pokok-pokok tinggi atau meniti di kabel-kabel terutamanya pada waktu malam. Kadang-kadang kita dikejutkan oleh kehadirannya di atas bumbung atau siling rumah pada waktu malam dan kita akan dapat menghidu seakan-akan bau pandan jika berhampiran dengannya. Mungkin dengan wangian pandan inilah ia digelar ‘musang pandan’.

Haiwan ini dari famili Viverridae dan nama umumnya common palm civet atau toddy cat atau nama tempatannya di negara lain; luwak (Indonesia); musang, alamid, motit (Filipina); punugu pilli, marapatti, maranai (India) dan uguduwa (Sri Lanka).

Taburan geografi bagi spesis haiwan ini ialah dari India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Myanmar, Sri Lanka, Thailand, Semenanjung Malaysia, Singapura, Borneo, Laos, Kemboja, Vietnam, China, Indonesia, Filipina, Irian Jaya, kepulauan Lasser Sunda, Maluku, Sulawesi hinggalah ke Jepun.

Habitatnya adalah hutan tropika kerana ia kaya dengan pelbagai spesis pokok buah-buahan dan haiwan kecil serta serangga yang menjadi sumber makanannya. Haiwan ini boleh beradaptasi dengan pelbagai habitat dari kawasan hutan tebal, dusun buah-buahan, perkampungan hingga ke kawasan perumahan di bandar. Mungkin kemusnahan hutan yang merupakan habitat asalnya menyebabkan ia berhijrah ke kawasan kampung dan bandar untuk mendapat makanan.

Beratnya sekitar 2-5kg. Ia mempunyai bentuk badan yang panjang. Panjang kepala hingga ke badan kira-kira 40 – 70 cm dan panjang ekornya 40 – 65cm. Fizikalnya tidak banyak beza dengan kucing. Telinganya kecil dan tajam ke atas. Matanya besar. Hidung dan mulutnya muncung dan bermisai. Kakinya pendek mempunyai lima jari berkuku tajam. Bulunya berwana kelabu dengan 3 jalur hitam di bahagian atas belakang dan tompok hitam berbaris di badan dari kaki hadapan ke kaki belakang. Bulu sekitar mata, telinga, kaki dan ekor berwarna hitam dengan tompok putih di sisi hidung. Ekornya tidak berbelang, membezakannya daripada spesis musang lain.

Musang pandan adalah haiwan omnivore. Ia memburu bersendirian dan sangat pantas. Makanannya terdiri dari haiwan vetebrata kecil seperti burung, anak ayam, telur, serangga dan haiwan reptilia. Ia juga gemar memakan sap dari bunga pokok palma, mungkin dengan tabiat inilah ia di gelar palm civet. Ia juga gemar memakan buah kopi dengan menelan keseluruhan biji kopi yang dimakannya. Biji kopi yang tidak hadam akan dibuang keluar bersama najisnya. Di Indonesia biji kopi ini dipungut dan diproses menjadi kopi luwak yang bermutu dan mempunyai nilai yang tinggi di pasaran dunia.

Musang pandan mencari makanan pada waktu malam untuk mengelak pemangsa pada waktu siang. Ia sangat aktif pada waktu malam dan akan berehat di tempat tinggi atau dalam lubang-lubang kayu pada waktu siang. Diet utamanya adalah makanan berasaskan daging. Buah-buahan atau tumbuhan adalah makanan sampingan. Haiwan kecil seperti tupai, tikus, cicak, ular dan katak adalah makanan utamanya. Serangga dan haiwan kecil lain juga menjadi makanannya. Ia juga memakan buah-buahan dan bunga palma. Ia mendiami sesuatu kawasan bergantung kepada sumber makanan yang terdapat di kawasan tersebut. Ia akan tinggal berhampiran pokok yang menjadi sumber makanannya untuk seketika sehinggalah habis bekalan sebelum berpindah ke kawasan lain. Ia tidak akan makan buah yang belum cukup masak dan membiarkannya. Kemudiannya ia akan datang semula apabila buah tersebut telah masak. Ia mengeluarkan bau seakan-akan bau pandan yang ditinggalkan pada pokok atau tanah sebagai penanda sempadan kawasannya dan untuk menjauhkannya dari pemangsa.

Musang pandan sering melahirkan anak antara bulan Oktober hingga Disember. Ia mampu melahirkan anak antara 2 hingga ke 4 ekor anak selepas bunting untuk tempoh dua bulan. Ia akan menyusu dan tinggal bersama anaknya sehingga anaknya mampu berdikari. Musang pandan matang berumur 11 ke 12 bulan. Ia mampu hidup hingga 20 tahun.

Musang pandan memainkan peranan penting dalam ekosistem hutan kita. Ia adalah salah satu ajen penyebaran biji benih yang berkesan. Ia memakan buah-buahan dari pokok induk dan akan menyebarkan biji melalui najisnya ke tempat lain dalam lingkungan 200 – 400m. Buah-buahan bersaiz kecil yang menjadi kegemarannya ialah seperti kopi, mangga (Mangifera spp) kasai (Pometia pinnata), kelat/jambu/kerian (Syzygium spp), terap (Artocarpus spp), kandis (Garcinia spp), mempoyan (Rhodamnia cinerea), rambai/tampoi (Baccaurea spp), rambutan (Nephelium spp), ara (Ficus spp) dan lain-lain buah-buahan hutan. Ia juga gemar memakan manisan dari bunga palma. Mungkin tabiat ini juga ia di gelar toddy cat. Kita juga sering mengambil sap dari bunga palma ini untuk menghasilkan gula melaka, nira dan memproses menjadi tuak (toddy).

Secara umum jika diperhatikan, taburan spesis haiwan ini masih banyak di dalam hutan dan kampung-kampung dan mungkin tidak diancam kepupusan. Walaupun begitu akhir-akhir ini, penggemar hidangan haiwan eksotik senantiasa memburu untuk merasa dagingnya.

Bagi pengusaha ladang buah-buahan, kehadiran musang pandan dianggap haiwan perosak seperti tupai dan monyet. Ia sering ditembak atau dibunuh. Pengusaha ternakan ayam dan puyuh juga menganggapnya pengacau malam. Pernah terdapat pengusaha ternakan ayam mengalami peristiwa dimana musang ini membunuh dengan mengigit kepala ayam ternakannya hampir 20 ekor tetapi tidak memakannya. Mungkin ini tabiat semulajadinya berburu untuk suka-suka. Tidak hairanlah ia dibunuh jika ditemui di kawasan ladang. Selain manusia, terdapat juga haiwan-haiwan yang menjadi pemangsanya seperti kucing hutan, harimau, harimau kumbang, ular dan buaya.

Walaupun begitu kita harus melindungi haiwan ini kerana fungsinya kepada manusia ada kelebihannya kerana dengan hanya dari najisnya kopi luwak terkenal di seluruh dunia. Kegunaan lain, ekstrak minyak dari dagingnya dipercayai boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit berjangkit.


Wednesday, December 29, 2010


Resak daun panjang


Resak daun panjang atau nama saintifiknya Vatica nitens adalah spesis hutan campuran dipterokap bukit rendah yang mendiami kawasan lereng-lereng dan puncak bukit.






Daunnya agak besar dan panjang
Resak gunung



Resak gunung atau nama saintifiknya Vatica heteroptera sering mendiami kawasan lereng-lereng dan puncak bukit di hutan dipterokap bukit tinggi. Ia juga merupakan sumber kayu keras Resak yang berkualiti justeru menjadikannya spesis yang terancam akibat pembalakan intensif.