Saturday, December 20, 2014

Uvaria rufa (Larak)




Satu lagi spesis tumbuhan pepanjat berkayu dalam hutan hujan tropika, Uvaria rufa atau lebih dikenali sebagai ‘Larak’ oleh penduduk tempatan. Tumbuhan ini semakin jarang ditemui akibat kemusnahan kawasan hutan.




Taburan geografi spesis ini bermula dari India, Selatan China, Cambodia, Laos, Vietnam, Thailand, Malaysia, Indonesia, Filipina, New Guinea hinggalah ke Australia.

Tumbuhan ini mempunyai ranting dan permukaan daun yang berbulu halus berwarna perang, susunan daun berselang-seli, pangkal daun berbentuk jantung dan ekor daunnya runcing.

Bunga berwarna merah berkilat dan berbau wangi.

Buahnya bulat memanjang, apabila masak berwarna oren dan kemudiannya menjadi merah serta berbau wangi.



Bijinya banyak, diliputi pulpa berwarna putih jernih. Buah boleh dimakan dan rasanya masam-masam manis.



Akar dipercayai boleh dijadikan ramuan dalam tonik untuk perempuan lepas bersalin. Buahnya juga dipercayai boleh mengurangkan panas ketika demam. Kayunya boleh dijadikan barangan kraftangan.

Tuesday, November 4, 2014

Uvaria grandiflora (Kesusu kerbau)

Uvaria grandiflora atau lebih dikenali sebagai pokok ‘Kesusu kerbau’ bagi masyarakat di utara negeri Kedah adalah sejenis tumbuhan pepanjat berkayu yang sering ditemui di persekitaran hutan semulajadi.

Taburan geografinya ialah negara Myanmar, Vietnam, Laos, Thailand, Cambodia, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.

Pokok dari keluarga mempisang ini mempunyai daun mudah berbentuk bujur panjang lebar dihujung, pangkal daun bulat dan ekor daun runcing, tepi daun licin dan sedikit beralun, susunan berselang-seli pada ranting. Permukaan daunnya hijau berkilat.

Bunganya berbentuk bintang, mempunyai 6 kelopak berwarna merah pekat dan kuning pucat dipangkal;  berbau wangi.

Buahnya seperti pisang yang melekat serumpun pada satu tangkai dan masak berwarna kuning. Isinya putih gebu tersusun dalam 2 barisan dan mempunyai biji yang banyak berbentuk leper berwarna perang kelabu. Buah boleh dimakan, berbau wangi dan rasanya masam-masam manis.

Akar dan daunnya dipercayai boleh digunakan untuk mengubati penyakit kulit
Pokok ini sesuai dijadikan tanaman landskap di taman-taman yang berkonsepkan hutan semulajadi kerana bunga dan buahnya menarik dan wangi.




Saturday, October 18, 2014

Cendawan Lilin (Tumbuhan Bercahaya Dalam Hutan)


Penemuan yang menarik iaitu sejenis tumbuhan yang bercahaya apabila disuluh dengan lampu. Ia mungkin sejenis fungi kecil. 


Ia mempunyai batang berwarna hitam berkilat berdimeter 0.3-0.5cm, tinggi sehingga 15.0cm dan hujung berwarna putih bersinar lebih kurang 1.0cm.


      
Ia tumbuh pada permukaan tanah dan ada yang melekat pada batang buluh seperti pacat.

  
Ia akan memantulkan cahaya pada malam yang gelap. Saya menamakannya cendawan lilin kerana seakan-akan lilin yang menyala di lantai hutan.


Sungguh menakjubkan ciptaan Allah. Subhanallah…