Friday, April 17, 2015

Entada spiralis (Sintok)

Kenalkah anda akan pokok ‘sintok’? ada yang menggelarnya ‘akar beluru’. Tumbuhan dari family Leguminosae ini boleh ditemui di kawasan hutan tropika samada hutan dara atau hutan sekunder di Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sintok adalah sejenis tumbuhan pepanjat yang boleh tumbuh dan menjangkau ketinggian sudur hutan. Batangnya bergayut pada batang dan dahan pokok dan akan mengeluarkan cabang sisi untuk menguatkan sokongannya pada pokok-pokok berhampiran. Daunnya akan menyelubungi silara pokok dan akan menjuntai ke bawah.

Tumbuhan pepanjat ini mempunyai daun majmuk yang mempunyai 3 atau 4 pasang anak daun yang bersusun setentang pada tangkai. Bentuk daun eliptik ke obovat dengan pangkal daun obtus dan ekor daun berbentuk kaudat. Bunga pada aksilari berwarna putih dan bertukar ke kuning. Buahnya besar.


Batang pokok ini mempunyai pelbagai kegunaan. Batangnya dipotong dan diketuk hingga menjadi seperti bersabut dan dijemur hingga kering. Bahagian bersabut ini akan mengeluarkan buih seperti sabun apabila direndam dalam air dan ia boleh dijadikan shampoo atau sabun untuk merawat penyakit kulit. Batangnya yang bersifat bersabut/fiber ini juga boleh dijadikan anyaman bakul atau tali.  Selain dari itu, akar batang sintok ini juga digunakan sebagai ramuan dalam perubatan tradisional untuk rawatan makhluk halus.

Tumbuhan ini sedang terancam akibat penerokaan kawasan hutan. Pengambilan batang pokok ini secara tidak terkawal oleh pencari akar kayu juga boleh menyebabkanya pupus.

Anda boleh melihat pokok sintok ini di Universiti Utara Malaysia. Ia adalah pokok sintok paling besar yang pernah saya lihat. Pihak pengurusan universiti telah memelihara pokok sintok ini sebagai ikon atau sinonim kepada UUM, Sintok.


Pihak pengurusan universiti boleh melangkah kehadapan lagi dengan mewartakan pokok tersebut sebagai ‘Pokok Warisan’ untuk menjamin keberkekalan sumber melalui program pemuliharaan yang lestari.