Uvaria grandiflora atau lebih
dikenali sebagai pokok ‘Kesusu kerbau’ bagi masyarakat di utara negeri Kedah
adalah sejenis tumbuhan pepanjat berkayu yang sering ditemui di persekitaran
hutan semulajadi.
Taburan geografinya ialah negara Myanmar,
Vietnam, Laos, Thailand, Cambodia, Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina.
Pokok dari keluarga mempisang ini
mempunyai daun mudah berbentuk bujur panjang lebar dihujung, pangkal daun bulat
dan ekor daun runcing, tepi daun licin dan sedikit beralun, susunan berselang-seli
pada ranting. Permukaan daunnya hijau berkilat.
Bunganya berbentuk bintang, mempunyai
6 kelopak berwarna merah pekat dan kuning pucat dipangkal; berbau wangi.
Buahnya seperti pisang yang
melekat serumpun pada satu tangkai dan masak berwarna kuning. Isinya putih gebu
tersusun dalam 2 barisan dan mempunyai biji yang banyak berbentuk leper
berwarna perang kelabu. Buah boleh dimakan, berbau wangi dan rasanya
masam-masam manis.
Akar dan daunnya dipercayai boleh
digunakan untuk mengubati penyakit kulit
Pokok ini sesuai dijadikan
tanaman landskap di taman-taman yang berkonsepkan hutan semulajadi kerana bunga
dan buahnya menarik dan wangi.